PIALA SAS
PSAS: Hafizuddin, Hairi pamer aksi terbaik
Malaysia perlu berterima kasih kepada dua individu -- Hairi Abd Rahman dan Hafizuddin Othman -- ketika The Malaysian Hockey Tigers mencatat kemenangan bersejarah ke atas pemenang pingat emas Sukan Olimpik, Argentina, dalam aksi ketiga peringkat kumpulan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2018 di Ipoh, malam tadi.
Malaysia sekali lagi membuktikan mereka mampu mencabar pasukan ranking atasan dunia apabila mencipta kejutan ke atas Argentina, pasukan di ranking nombor dua dunia.
Dua jaringan pemain negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dan Najmi Farizal Jazlan menggamatkan suasana di Stadium Azlan Shah, Ipoh sebelum Argentina cuba merapatkan jurang menerusi jaringan Diego Paz.
Iklan
Dalam perlawanan itu juga, jurulatih negara, Stephen Van Huizen, masih mengamalkan sistem penggiliran penjaga gol, Hairi dan Hafizuddin, dan kedua-duanya tampil dengan aksi cemerlang mengawal gawang negara daripada dibolosi.
Hafizuddin berjaya menepis penalti strok Juan Gilardi pada suku kedua permainan manakala Hairi pula berjaya menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya daripada pukulan sudut penalti pihak lawan.
Hairi turut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan semalam, namun dia menyifatkan Hafizuddin lebih layak menerimanya.
"Untuk perlawanan hari ini, kami telah melakukan yang terbaik dan pemain terbaik perlawanan harus diberikan kepada Hafizuddin," katanya.
"Menafikan percubaan Argentina menerusi pukulan penalti strok itu merupakan kali pertama saya lakukan selepas bersama skuad kebangsaan," kata Hafizuddin.
"Menewaskan Argentina selaku juara Olimpik telah memberikan motivasi kepada pasukan bagi menghadapi aksi-aksi seterusnya."
Must-Watch Video