SUKAN LAIN

PSAS 2017: Sukri harap Malaysia segera bangkit

Astro Arena 01/05/2017 | 09:29 MYT
Kapten pasukan negara, Mohamad Sukri Abdul Mutalib, meminta setiap pemain untuk bersatu mencapai sasaran menamatkan saingan dalam kelompok empat pasukan terbaik walaupun terdapat banyak pihak yang mula sangsi dengan kebolehan Malaysia dalam Piala Sultan Azlan Shah 2017.
Ternyata ia merupakan satu permulaan yang kurang memuaskan buat Malaysia, seri dengan Jepun dan tewas 6-1 kepada Australia, sekaligus meletakkan mereka di kedudukan tercorot bagi saingan kumpulan.
Sukri mengakui mereka gagal mempamerkan permainan terbaik, namun memberi jaminan mereka akan bangkit dalam aksi akan datang.
"Pada pemerhatian saya, kami tidak berjaya mempamerkan permainan baik tetapi kami perlu bangkit dalam perlawanan akan datang. Apa yang penting buat masa ini adalah menganalisis permainan kami dan memperbaiki kelemahan untuk menghadapi saingan seterusnya," katanya.
Sukri turut menegaskan walaupun terpaksa akur dengan kualiti yang dimiliki Australia, terdapat banyak pengajaran yang mereka perolehi untuk meneruskan saingan PSAS 2017, sekaligus membuat persiapan rapi menghadapi Separuh Akhir Liga Dunia.
"Berdasarkan perlawanan ini, kombinasi permainan antara pemain tidak menjadi. Australia berada di tahap lebih tinggi daripada Malaysia.
"Bagaimanapun, ini satu perlawanan yang memberikan pengalaman yang baik buat kami bagi menghadapi saingan Liga Dunia di London."
;