Stadium Astro logo
SUKAN-LAIN

Projek Ramadan: Sukan bukan sekadar minat tapi satu kebanggaan --Bekas atlet boling padang para negara, Ar Izwan imbas pencapaian di Incheon 2014

article-author-avatar
Najmi Iman 05/03/2025 | 11:10 MYT
Article ribbon Projek Ramadan: Sukan bukan sekadar minat tapi satu kebanggaan --Bekas atlet boling padang para negara, Ar Izwan imbas pencapaian di Incheon 2014
Projek Ramadan bersama kolaborasi antara Astro Arena dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) terus komited menghulurkan bantuan dalam membantu memperjuangkan sisa hidup bekas atlet yang memerlukan.
Selepas menerjah pemenang pingat emas Sukan SEA 1989 sukan berbasikal iaitu Abdul Mutalib Mydin, tumpuan terarah kepada atlet boling padang para negara, Mohd Ar Izwan Anuar, yang sempat berkongsi jerih membesarkan keluarga kecilnya tanpa pendapatan tetap di Shah Alam, Selangor.
Nama Ar Izwan pernah menggegar pentas antarabangsa membawa nama Malaysia mengangkat sukan tersebut dalam Sukan Para Asia Incheon Korea 2014.
Namun, segalanya berubah apabila dia bukan lagi bertarung dalam gelanggang, tetapi menghadapi liku-liku kehidupan membesarkan keluarganya.
"Pencapaian terbaik ialah ketika di Incheon sekitar 11 tahun lalu.
"Jika diberikan rezeki, saya boleh menuai dua pingat emas sebenarnya tapi kesilapan diri mampu membutirkan perak sahaja.
"Sedikit kecewa apabila nama sudah berada dalam senarai akhir, namun digugurkan.
"Terpaksa menerima hakikat daripada pemilihan itu. Jika diikutkan kepada gelaran dan pemenang pingat, sudah semestinya saya layak.
"Saya kena terima kenyataan itu dalam sukan," katanya ketika berkongsi di Nadi Arena.
Menurut Izwan, sukan bukan sekadar minat, malah satu kebanggaan.
Sebagai seorang atlet para, dia telah melalui pelbagai cabaran untuk mengharumkan tanah air di persada dunia.
Kini, saat tumpuan tidak lagi diberikan kepada mereka, kehidupan selepas sukan menjadi satu perjalanan yang penuh ranjau.
"Selepas 2014, rentak saya semakin perlahan.
"Saya daftarkan diri saya bersama YAKEB.
"Belum pernah lagi nama saya ditinggalkan. YAKEB banyak membantu kami.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada YAKEB.
"Kami sekeluarga mengharapkan bulan Ramadan tahun ini lebih baik berbanding tahun lalu," tambahnya.
"Izwan ada dalam senarai kami dan dari 2020 lagi kami sudah membantu," kata Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.
#boling padang #YAKEB #Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan #Projek Ramadan #Mohd Ar Izwan Anuar