BOLING
Program sinergi anjuran Yayasan Kasih Tauhid mampu rapatkan ukhwah
Program sinergi sukan bowling anjuran Yayasan Kasih Tauhid bersama Universiti Teknologi Mara (UITM) menjadi bukti bahawa sukan mampu mengeratkan dua organisasi yang berbeza bidang.
Alasan di sebalik pemilihan acara sukan, menurut pengasas Yayasan Kasih Tauhid, Puan Seri Fatini Yaacob, sukan bowling adalah antara sukan yang mudah untuk disertai oleh setiap golongan berbanding sukan lain.
"Boling adalah permainan yang sangat mudah, sesiapa sahaja boleh bermain tanpa mengira saiz fizikal seseorang, berbeza dengan sukan golf yang sukar.
"Kami harap dapat suai kenal dan bermesra dengan staf-staf dari UITM dan kita berharap dapat mencapai matlamat agar anak muda dapat terarah kepada kasih tauhid." kata Puan Seri Fatini Yaacob.
Dia juga mengharapkan segala usaha yang dilakukan bersama wakil yang juga Penolong Naib Canselor (Komunikasi Strategik) UITM, Prof. Dr. Ismie Roha Mohamed Jais, membuahkan hasil yang sejajar dengan motif untuk merapatkan ukhuwah selain memperkasakan tauhid.
"Kita diberikan peluang ini dan kami mengambil kesempatan agar kami dapat menjalinkan hubungan untuk kami melaksanakan amanah yang diberikan oleh UITM bersama-sama rakan media dan pihak Yayasan Kasih Tauhid.
"Terima kasih Puan Seri Fatini Yaacob sebagai pengasas yang memberikan peluang untuk bersama-sama menjayakan sukan bowling hari ini." kata Prof. Dr. Ismie Roha.