BERBASIKAL
Program RTG: PKBM sedia jadi orang tengah bantu Azizulhasni Awang
Naib Presiden II Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill, berkata pihaknya sedia membantu juara dunia Keirin, Datuk Azizulhasni Awang, untuk menjadi orang tengah bagi memastikan persiapan terbaik buat pemenang dua pingat emas Sukan Olimpik itu dalam Program Road to Gold (RTG).
Ini susulan kenyataan yang dikeluarkan jaguh berbasikal trek negara itu hari ini, yang berasa terkilan janji untuk mendapatkan sistem sokongan lebih baik di Malaysia berbanding di Melbourne masih belum terpenuhi.
Amarjit berkata pihaknya akan membantu Azizulhasni bersesuaian dengan persetujuan pihak-pihak terlibat bagi memastikan persediaan terbaik buat jagoan negara itu menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.
"Saya difahamkan bahawa perjumpaan telah dilakukan di antara Chef-de-misson Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin, dengan Datuk Azizul pada beberapa hari lalu dan saya percaya isu-isu ini telah dibangkitkan kepadanya," katanya seperti yang dilaporkan Astro Arena.
"Datuk Hamidin juga telah menyatakan bahawa beliau akan membawa perkara ini kepada Jawatankuasa RTG untuk pertimbangan mereka.
"Saya percaya Datuk Azizul tiada niat buruk dalam kenyataan yang telah dikeluarkannya kerana mungkin beliau cuma meluahkan kekecewaannya.
"Bagaimanapun, saya percaya pasti ada penyelesaian terbaik untuk perkara ini daripada pihak yang terlibat, khasnya Datuk Azizul dan pihak MSN (Majlis Sukan Negara), dan sekiranya perlu, PKBM boleh menjadi pihak pendamai bagi kedua-dua pihak," katanya.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#Azizulhasni Awang
#Berbasikal
#Berbasikal trek
#Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia
#Sukan Olimpik Paris 2024