Skip to main content

Sepak Takraw

Program NSTDP revolusi sepak takraw negara lahirkan jaguh dunia

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

takraw.jpg
Program National Sepaktakraw Development Program (NSTDP) diyakini mampu menjadi pemangkin kepada kelahiran lebih ramai bakat pelapis dalam sukan sepak takraw negara.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pakar Rujuk NSTDP, Dr. Hanafiah Ayub, program ini bukan hanya tertumpu kepada pembangunan bakat semata-mata, tetapi turut memberi penekanan kepada pendidikan serta penerapan elemen sains sukan bagi melahirkan atlet yang lebih berkualiti dan berdaya saing.

NSTDP, yang dijadualkan dilancarkan pada April nanti, akan memberi tumpuan kepada pencarian bakat di peringkat sekolah, melibatkan pemain berusia 10 hingga 17 tahun.

"Berbanding sebelum ini, pencarian bakat muda banyak bergantung kepada kejohanan MSSM semata-mata." 

"Namun, menerusi NSTDP, program ini akan dilaksanakan secara lebih terancang dan berstruktur dengan pemilihan sekolah serta daerah tertentu sebagai pusat pembangunan utama."

"Setiap lokasi akan memiliki modul latihan khas, di samping bimbingan jurulatih yang dipilih berdasarkan kriteria ketat." 

"Malah, 'Reflection Course' turut diperkenalkan bagi memastikan jurulatih dan pemain sentiasa melalui proses penambahbaikan secara berterusan."

"Dengan pelaksanaan NSTDP mengikut zon, kita akhirnya dapat membentuk satu model pembangunan di peringkat nasional yang menghimpunkan semua pemain terbaik negara.

"Lebih menarik, NSTDP bukan sekadar melahirkan atlet cemerlang tetapi turut membuka peluang pendidikan tinggi kepada pemain yang berpotensi. 

"Ini memastikan bakat-bakat muda tidak hanya berkembang dalam sukan tetapi juga mempunyai masa depan cerah di luar gelanggang.

"NSTDP bukan satu program yang berdiri sendiri, sebaliknya ia adalah rangka pembangunan menyeluruh yang merangkumi pelbagai aspek bagi memastikan masa depan sukan sepak takraw Malaysia terus gemilang,” tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video