GOLD COAST 2018
Powerlifting para: Yee Khie, Bonnie mampu sumbang pingat Sukan Para Asia
Jurulatih powerlifting para negara, Jamil Adam, memberikan bayangan anak buahnya, Jong Yee Khie dan Bonnie Bunyau, mampu menjadi prospek peyumbang pingat Sukan Para Asia Indonesia Oktober nanti berdasarkan pencapaian mereka dalam Sukan Komanwel Gold Coast.
Skuad powerlifting para negara tiba ke tanah air pada awal pagi tadi bersama skuad renang dan gimrama, namun tumpuan terarah kepada pemenang pingat perak kategori 97 kilogram, Yee Khie.
Yee Khie berjaya memperbaiki prestasi ketika beraksi di Glasgow empat tahun lalu manakala Bonnie yang beraksi buat kali pertama dalam Sukan Komanwel, berjaya menamatkan saingan di tangga keempat selain memecahkan rekod remaja kebangsaan.
Justeru, Jamil akan cuba mengekalkan modul latihan yang sama di samping beberapa penambahbaikan untuk kedua-dua anak buahnya itu menjadi penyumbang pingat dalam Sukan Para Asia Indonesia nanti.
"Berdasarkan saingan dengan China di Mexico sebelum ini, angkatan Yee Khie 208kg menyamai atlet China itu. Jadi, saya berharap kami boleh melakukan dengan lebih baik," kata Jamil.
Justeru, satu kejohanan kompetitif telah diatur untuk anak buah Jamil selepas ini, iaitu Kejohanan Terbuka Powerlifting Asia-Ocenia di Kitakyushu, Jepun pada September depan.
"Saya menyasarkan emas selepas ini. Dalam temasya di Gold Coast ini, saya hampir-hampir mendapatkannya. Tetapi, saya berpuas hati kerana sudah mendapat keputusan yang baik," kata Yee Khie.
"Saya banyak belajar dengan juara-juara dan rakan-rakan dalam kontinjen Malaysia. Ia banyak membantu kejayaan saya," kata Bonnie.