SUKAN LAIN

POPIC 2023: Khairul Naim terus pamer dominasi

04/11/2023 | 11:44 MYT
Bagaikan 'raksasa', itulah ungkapan paling tepat untuk menggambarkan kejayaan pendayung kebangsaan, Khairul Naim Zainal yang terus mencipta sensasi pada peringkat kedua kategori SS1 lelaki International Open peringkat kebangsaan.
Setelah cemerlang pada peringkat pertama cabaran antarabangsa Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) 2023, Khairul Naim sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang ketika beraksi di Pantai Lagenda, Pekan bagi peringkat 2.
Antara resipi kejayaannya adalah restu dari ibu bapa setiap kali sebelum memulakan sesuatu pekerjaan yang bakal dilakukan.
Khairul turut menjaga disiplin dengan pemakanan yang seimbang serta aspek proses pemulihan berada di tahap optimum bagi mengekalkan fokus pada hari perlumbaan.
Manakala, kategori yang sama buat wanita menyaksikan dominasi pendayung dari Johor, Nur Atasha Nabila yang meneruskan kehebatan daripada kemenangan peringkat pertama.
Antara rencah kejayaannya termasuk meletakkan juara edisi lalu dalam kategori sama, Aimi Ayuni Azwan sebagai idolanya sepanjang perlumbaan, selain latihan intensif sebelum menyertai kejohanan tersebut.
Kemeriahan Kejohanan POPIC Whack The Wave pada peringkat kedua turut diserikan dengan beberapa acara sampingan yang turut menjadi tarikan di Pantai Legenda, Pekan.
Antara sukan yang dipertandingkan adalah sukan bola tampar, tarik tali.
Bukan itu sahaja, bagi peminat sukan ATV, orang ramai juga diberi peluang menunggang kenderaan tersebut sekeliling pantai tersebut.
Bagi peminat batik, anda juga boleh menikmati seni warisan dengan acara mewarna batik.
#POPIC 2023
;