BOLA TAMPAR
PKNS IVL: Tiga set terakhir ubah nasib MBSA
Sabah Rhino tidak menggunakan kelebihan dua set yang secara tidak langsung membenarkan MBSA menyusun kebangkitan mengikat kedudukan 2-2 dan mengesahkan tiket ke final hasil kemenangan set penentuan 15-7.
Terdahulu Sabah mempamerkan dominasi untuk mendahului pertemuan separuh akhir PKNS Invitational Volleyball League di Dewan Bola Tampar Seksyen 4, Shah Alam, hari ini, itu hasil keputusan 25-23, 32-30.
Begitupun, memasuki set terakhir yang sepatutnya memutlakkan kemaraan Sabah, kem dari Kepulauan Borneo itu banyak melakukan kesilapan untuk membuka peluang MBSA mengejar kedudukan hasil kemenangan set ketiga 25-16.
Iklan
MBSA kekal dengan rentak permainan positif untuk mengugat motivasi lawan apabila mengikat kedudukan 2-2 menerusi keputusan 25-13.
Dan dalam set penentuan, MBSA terus garang sambil mampu mematikan setiap asakan Sabah untuk menang 15-7.
Justeru, ketua jurulatih MBSA. Shamsaimon Sharit, cukup berpuas hati dengan prestasi yang ditampil barisannya walaupun pada awalnya kecundang dalam dua set pertama.
"Kalau main macam tadi, kami boleh jadi juara.
"Dalam pertemuan dengan PKNS Eagle sebelum ini, kami kalah 2-3 tapi ketika itu pemain utama kami dilanda kecederaan.
"Selepas dia pulih, corak permainan kami semakin baik," katanya.
Dalam pada itu, tonggak MBSA, Khairol Shazrimie, mengakui sedikit tertekan dengan kecederaan yang dialaminya tetapi masih mampu menampilkan aksi terbaik.
"Kami terlalu menghormati dan bersikap sambil lewa dalam dua set terawal.
"Kami dapat menyusun semula rentak dan akhirnya memenangi tiga set seterusnya," katanya.
Must-Watch Video