BOLA TAMPAR
PKNS IVL: MBSA terlalu gagah dalam final
Selepas enam hari berkampung di Dewan Bola Tampar Seksyen 4 Shah Alam, PKNS Invitational Volleyball League (IVL) akhirnya melabuhkan tirai.
Perlawanan perebutan gelaran juara hari ini tamat dalam aksi straight set yang memihak kepada MBSA dengan mengatasi PKNS Eagle.
MBSA langkah kanan sejak awal lagi apabila gah mendahului 18-12 sebelum menjamin set pembukaan 25-16 menerusi 13 'spike'.
Tersentap dengan kekalahan set pertama, Eagle tampil lebih agresif dengan mencetak 16 spike, namun lapan kesilapan yang dilakukan jelas membawa padah yang secara tidak langsung gagal menyekat kemenangan tipis MBSA 27-25.
Eagle terus berjuang dalam set ketiga tetapi MBSA jelas berada di kelas tersendiri dan tanpa membuang masa, skuad bimbingan Shamsaimon Sharit itu akhirnya menoktahkan kemenangan dengan keputusan 25-22.
Dalam penentuan tempat ketiga pula, Kelantan bangkit daripada kekalahan separuh akhir semalam untuk tampil selaku pasukan ketiga terbaik.
Berdepan Sabah Rhino, skuad dari Pantai Timur itu gah mendominasi set pertama dan mudah mencatat kemenangan 25-12 untuk kelebihan awal.
Cerita yang sama berulang dalam set kedua meskipun terdapat sedikit penambahbaikan daripada skuad Sang Badak, tapi kekuatan jentera serangan Kelantan menyaksikan kemenangan sekali lagi menjadi milik mereka 25-13.
Selepas rehat, Sabah kembali ke gelanggang dengan semangat berlainan untuk mempamerkan percaturan berbeza.
Dan ini jelas dilihat apabila mereka mendominasi perlawanan dan menoktahkan kemenangan 25-18 untuk memaksa set keempat.
Sayangnya momentum itu gagal diteruskan untuk Sabah terpaksa akur dengan kesungguhan lawan mereka yang bangkit menyerlah menoktahkan kemenangan 25-14.