BOLA TAMPAR

PKNS IVL: Faktor fizikal bukan ukuran PKNS Eagle ke final

Shaiful Shamsudin 16/09/2023 | 11:39 MYT
PKNS Eagle melepaskan ranjau Kelantan untuk kemenangan 3-1 dan di laluan tepat untuk merealisasikan impian mereka dalam PKNS Invitational Volleyball League.
Pertemuan separuh akhir di Dewan Bola Tampar Seksyen 4, Shah Alam, hari ini menyaksikan kedua-dua pasukan bersaing sengit dan saling berkejaran mata untuk kedudukan terikat 1-1.
Namun, sebaik beralih ke set ketiga, rentak terbaik Kelantan tidak kekal lama sebelum situasi itu berubah untuk Eagle mendapat rentak kemenangan 25-22.
Skuad Eagle meneruskan momentum positif untuk mengesahkan kemaraan ke final hasil kemenangan 25-16..
Ketua jurulatih PKNS Eagle, Sim Jian Chin, bangga dengan prestasi yang ditunjukkan anak buahnya tapi mengakui ada beberapa yang perkara perlu diperbaiki menjelang aksi final bertemu MBSA esok.
"Persembahan pada hari ini memuaskan walaupun dalam set kedua ada kelonggaran.
"Tapi pemain dapat buat baik dengan arahan saya untuk kami bangkit.
"Kebanyakan pemain kami mempunyai komitmen pekerjaan jadi kami ada kekurangan daripada segi fizikal berbanding pemain muda.
"Tetapi kami tumpu kepada kekuatan sendiri dan sentiasa cuba berikan yang terbaik," katanya.
Dalam pada itu, ketua pasukan Eagle, Lee Yeh Seng, tidak menafikan skuad Eagle masih melakukan kesilapan tetapi kagum dengan semangat juang rakan-rakannya untuk mengesahkan tempat ke pentas final.
"Kami berasa gembira walaupun kelam kabut sedikit di atas gelanggang yang menyaksikan pihak lawan dapat mencuri satu set.
"Kami dapat bangkit dan kembali tenang selain mematikan bola yang sepatutnya.
"Final memang menjadi sasaran kami tapi kami ada selangkah lagi untuk bergelar juara.
"Dengan penganjuran julung-julung kalinya oleh PKNS, kami memang harap dapat menang," katanya.
#Bola Tampar #PKNS Invitational Volleyball League
;