BERBASIKAL

PKBM sambut baik hasrat Harrif Saleh sertai skuad berbasikal trek negara

Sinar Harian 17/06/2023 | 08:28 MYT
Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menyambut baik hasrat jaguh lebuh raya, Mohd Harrif Saleh, yang menyatakan kesediaannya untuk memperkuat skuad trek negara jika khidmatnya diperlukan.
Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab, berkata Harrif mempunyai potensi untuk membarisi skuad trek bersandarkan pengalaman luas yang dimiliki pakar pecut negara itu.
“Secara peribadi saya melihat Harrif sebagai seorang pelumba yang luar biasa. Dia juga seorang pelumba yang cukup berpengalaman, terutama dalam saingan lebuh raya.
“Buktinya, dia memenangi perlumbaan jelajah di luar negara termasuk di Eropah. Malah, dia memenangi beberapa peringkat Le Tour de Langkawi (LTdL) selain meraih pingat emas Sukan SEA.
“Jadi, saya amat mengalu-alukan kesediaan Harrif. Cuma buat masa ini, sudah tentu dia terikat dengan tugasnya bersama pasukan TSG (Terengganu Cycling Team),” kata Abu Samah.
Terdahulu, pelumba berusia 34 tahun kelahiran Terengganu itu menyatakan kesediaannya untuk menabur bakti bersama skuad trek kebangsaan sekiranya khidmatnya diperlukan.
Namun, pada masa sama, Harrif atau lebih mesra disapa Mamat, mengakui tumpuan utamanya ketika ini adalah bersama TSG memandangkan dia sudah mencipta nama dalam saingan lebuh raya lebih sedekad.
Harrif mencuri tumpuan peminat lumba basikal tempatan apabila membuat penampilan dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan pada Khamis lalu.
Biarpun hanya membuat persiapan dalam tempoh dua minggu, Harrif tetap berpuas hati dengan pencapaiannya menamatkan acara elimination (perlumbaan penyingkiran) di tangga kelapan daripada 15 pelumba.
Kredit: Sinar Harian
#Berbasikal #TSG #Berbasikal trek #Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia #Berbasikal Lebuh Raya #Harrid Saleh
;