Skip to main content

Sukan Lain

PKBM gantung lesen jurulatih susulan didakwa lakukan amang seksual

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

pkbm.jpg
Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengambil maklum berkaitan berita seorang jurulatih berbasikal yang juga seorang bekas pelumba berbasikal kebangsaan telah dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan amang seksual fizikal melibatkan seorang pelatih wanita.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill memandang serius tentang perkara tersebut dan berpegang teguh kepada prinsip bahawa semua individu yang terlibat di dalam sukan berbasikal berhak untuk berada di dalam satu persekitaran yang selamat dan bebas daripada apa-apa gangguan, termasuklah gangguan seksual. 

“Dalam hal ini, saya ingin memberi jaminan kepada semua pihak bahwa PKBM tidak akan bertoleransi terhadap mana-mana pemegang lesen yang didapati melanggar peruntukan perundangan negara, Kod Sukan Selamat dan Kod Etika Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), lebih-lebih lagi yang melibatkan atlet atau pelatih bawah umur,” katanya dalam satu kenyataan kepada media PKBM. 

Datuk Amarjit yang juga merupakan seorang peguam berkata bahawa Jawatankuasa Disiplin PKBM sebagai satu langkah mitigasi risiko awal, telah mengambil keputusan untuk menggantung lesen tertuduh sebagai seorang jurulatih berkuatkuasa serta merta sehingga tempoh perbicaraan tertuduh itu tamat dan tindakan selanjutnya di peringkat PKBM akan berpandukan kepada keputusan mahkamah. 

“PKBM akan sentiasa memantau kes demi kepentingan semua pihak khususnya pelumba wanita itu sendiri,” katanya.

Amarjit yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) berkata PKBM juga mengambil pendekatan untuk mengimbangi keperluan untuk melindungi pelatih-pelatih lain yang berada dibawah seliaan tertuduh melalui penggantungan lesen jurulatih tersebut, tanpa mengenepikan hak pegangan bahawa seseorang itu adalah tidak bersalah melainkan dibuktikan sebaliknya melalui proses kehakiman.

Dalam masa sama, PKBM juga ingin mengesahkan bahawa pada masa ini, dan pada masa kesalahan tersebut dikatakan berlaku, tertuduh bukanlah jurulatih pasukan kebangsaan atau jurulatih pasukan mana-mana negeri, dan beliau merupakan jurulatih hanya kepada kelabnya sendiri. 

PKBM memberi peringatan kepada semua individu yang terlibat di dalam sukan berbasikal, samada sebagai atlet, jurulatih, pegawai teknikal, mahupun pentadbir dan pemegang jawatan, untuk sentiasa memelihara dan menegakkan satu persekitaran yang selamat bagi semua, dan supaya apa-apa perbuatan yang dianggap sebagai salahlaku di bawah peruntukan Kod Sukan Selamat dilaporkan dengan segera kepada PKBM atau kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia sekiranya disyaki terdapat unsur jenayah.

Nur Effandy yang menang pingat perak pada Sukan Komanwel 1998 menerusi acara lepas beramai-ramai elit lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang pagi ini  atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelatih berbasikal perempuan berusia 15 tahun sekitar Jun tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 58 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Norshila Kamaruddin.

Dia didakwa melakuan amang seksual pada jam 6 petang sekitar Jun 20245 di dalam sebuah setor simpanan basikal di medan seleras Taman Desa Keramat, Kuala Lumpur.

Advertisement

Must Watch Video