BERBASIKAL
Pishgaman Cycling kembali sertai Jelajah Malaysia 2017
Pengerusi Jelajah Malaysia 2017, Datuk Mohd Nazifuddin Najib, mengesahkan Pishgaman Cycling akan mempertahankan jersi kuning juara keseluruhan milik Arvin Moazemi selepas pasukan Iran itu mendapat kelulusan penyertaan daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), bulan depan.
Pishgaman mendapat lampu hijau menyertai Jelajah Malaysia edisi ke-53 selepas dipalit isu doping membabitkan pakar pecut mereka, Rahim Emami.
Kehadiran Pishgaman pasti meningkatkan cabaran 19 pasukan lain, terutama wakil negara, Terengganu Cycling Team, dan skuad kebangsaan dalam perebutan jersi dalam lima peringkat perlumbaan berkenaan.
"Tindakan telah dikenakan, mereka juga telah dilepaskan daripada sebarang kes di samping dikenakan denda. Jadi, mereka dibenarkan untuk bertanding.
"UCI juga tiada masalah untuk mereka beraksi," kata Nazifuddin.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Jelajah Malaysia 2017, Noraidiazhar Sulaiman, menjelaskan mereka wajib menjemput tiga pasukan terbaik di Asia.
"Bagi tahap Jelajah Malaysia 2.2, kami wajib menjemput pasukan tiga terbaik di Asia. Pishgaman adalah pasukan kedua terbaik di Asia. Jadi, mereka mendapat slot automatik untuk bertanding," jelasnya.
Saingan bakal bermula di Shah Alam, Selangor sehingga Alor Setar, Kedah yang membabitkan jarak 680 kilometer.
Peringkat keempat perlumbaan dari Kulim ke Gunung Jerai membabitkan pendakian "Hors Class" setinggi 1,217 meter dijangka bakal menjadi tarikan utama.