SUKAN LAIN

Ping pong: Kurang serasi punca Lai Yong Han-Lim Jing Shuen tewas

Najmi Iman 14/05/2024 | 11:40 MYT
Keserasian merupakan punca kegagalan beregu campuran ping pong bawah 19 tahun negara, Lai Yong Han dan Lim Jing Shuen, apabila tumpas 1-3 kepada pasangan dari Singapura di separuh akhir Kejohanan Remaja Asia Tenggara.
Pasangan negara mengakui mutu persembahan dengan pukulan 'chop' dari lawan, Nicholas Tan serta Tan Zhao Yun, jelas merencatkan rentak kebangkitan mereka sehingga tewas 9-11, 11-2, 7-11, 7-11.
"Sudah semestinya kami merasakan tekanan dari pihak lawan yang mempamerkan mutu permainan yang berkualiti," kata Yong Han di Kompleks Sukan Tertutup MOM.
Tambah Jing Shuen: "Saya rasa mereka menonjolkan permainan yang cantik kerana mereka tidak melakukan kesalahan yang banyak dan ia menyukarkan kami untuk kembalikan pukulan tersebut."
Sementara itu, kategori beregu lelaki B-15, Lee Hong An dan Darren Wong dipaksa bermandi peluh sebelum tewas 2-3 kepada gandingan dari Vietnam, Do Manh Luong dan Dinh Nhat Nam.
Kegagalan pasangan tersebut berpunca dari kelemahan menahan asakan 'forehand' lawan yang lebih kencang ke penjuru sudut gelanggang.
"Lawan kali ini mempunyai daya 'forehand' yang kuat dan kami sukar untuk memenangi perlawanan ini.
"Kami kurang pengalaman dan mengakui banyak kesilapan yang dilakukan dan terpaksa menerima kekalahan tersebut", kata Hong An.
#Ping Pong
;