Skip to main content

Sukan Asia

Ping pong: Ho Ying-Karen mara ke separuh akhir

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

pingpong12418_1.jpg
Beregu ping pong wanita negara, Ho Ying dan Karen Lyne, cemerlang meneruskan kemaraan ke separuh akhir selepas menyingkirkan gandingan tuan rumah, Lay Jian Fang dan Miao Miao, 3-1 dalam Sukan Komanwel Gold Coast, hari ini.

Biarpun memulakan saingan dengan aksi kurang memberangsangkan, membenarkan lawan menguasai set pertama sebelum tunduk 9-11, pasangan negara pantas memperkemaskan permainan dalam set kedua untuk bangkit menyamakan kedudukan hasil kemenangan 13-11.

Set ketiga, Ho Ying dan Karen bijak memanfaatkan peluang untuk mendahului sebelum mematikan langkah beregu tuan rumah itu untuk menang 11-9 dan kemudian melengkapkan kemaraan ke separuh akhir menerusi kemenangan 11-9 dalam set keempat.

Kejayaan ini menjadi pengubat duka Ho Ying yang sebelum ini akur tewas dalam pusingan 16 perseorangan di tangan Jian Fang 11-8, 5-11, 7-11, 2-11.

Malangnya, rentak meyakinkan Ho Ying dan Karen gagal dituruti pasangan beregu lelaki, Choong Javen-Leong Chee Feng, yang terkandas dalam pusingan 16.

Tewas set pertama 7-11, pasangan negara itu berjaya bangkit dalam set kedua untuk menang 11-9 mengatasi lawan dari Nigeria.

Namun, kebangkitan itu tidak kekal lama apabila kedua-duanya mula longlai dalam set ketiga apabila tewas 8-11 sebelum tumbang 5-11. 

Advertisement

Must Watch Video