SEPAK TAKRAW
Piala Tun Ali: Melaka bangkit atasi Sabah
Melaka melakar kemenangan ke atas Sabah dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali, sebentar tadi.
Saingan sengit ditampilkan kedua-dua pasukan dan perlawanan seimbang antara mereka. Sabah dibarisi Saufi Edul, Radzi Awang dan Ramdan Ibrahim sementara Melaka pula dibarisi Sahidan Ali, Muqlis Borhan dan Loesak Kuram.
Kedua-dua pasukan terikat 12-12 di set pertama namun selepas pertarungan yang sengit, Sabah mencatat kemenangan 21-17.
Sabah meneruskan momentum di set kedua tapi kali ini Melaka tidak membiarkan jurang besar dengan Sabah dan berjaya bangkit dan mengikat kedudukan 13-13.
Enggan kesilapan set pertama berulang melaka berjaya mencatat kemenangan 21-17 dan perlawanan diheret ke set penentuan.
Strategi Sabah serba tidak menjadi di set ketiga dan tidak memberi saingan seperti dua set terdahulu, yang menyaksikan Melaka mencatat kemenangan mudah 21-8.
Dalam saingan doubles antara pasukan Penjara dan Bomba, Penjara memulakan aksi dengan gandingan Noremazizol Nordin dan Faiz Naim.
Sementara Bomba tampil dengan kombinasi Zaim Zamri dan Syazwan Salehan.
Kemahuan untuk tidak terus terpalit dengan kekalahan jadi motivasi luar biasa buat Penjara apabila memulakan pertemuan dengan langkah kanan.
Set pertama menyaksikan mereka menang 21-13.
Jika ada yang menyangka Bomba berupaya mengheret aksi ke set penentuan, sangkaan itu sama sekali meleset, apabila Penjara terus dominan dan berjaya melakar kemenangan sulung menerusi sentuhan terakhir Azizol Nordin untuk menoktahkan set kedua 21-11.