SEPAK TAKRAW
Piala Tun Ali: Negeri Sembilan lebur hasrat Johor pertahan gelaran
Negeri Sembilan layak ke babak penentuan gelaran acara regu Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali 2023 selepas menundukkan juara bertahan Johor, sebentar tadi.
Negeri Sembilan berjuang untuk mempamerkan kebangkitan dalam kempen di Bukit Serindit, Melaka, itu selepas ditundukkan 10-21 dalam set pertama.
Kedua-dua pasukan kemudian saling bertukar mata yang menyaksikan kedudukan terikat 16-16 sebelum Negeri Sembilan melebarkan jurang tiga mata.
Iklan
Bagaimanapun, situasi itu gagal dipertahankan berikutan tekong Johor, Rattadech Noijaroen -- bergandingan di samping Syahmi Syazwan (perejam) dan Farhan Adam -- memberi mata akhir kepada lawan disusuli servisnya terkeluar untuk kekalahan 19-21, sekali gus membawa permainan ke set penentuan.
Aksi sengit berlanjutan dalam babak mendebarkan itu dengan Negeri Sembilan lebih kerap mendahului menerusi jurang tipis.
Mereka beroleh kelebihan empat mata di kedudukan 15-11 dan mengekalkan momentum tersebut dengan kemenangan 20-14.
Sementara itu, Perak mudah membenam Kuala Lumpur 2-0 untuk menempah satu lagi slot ke final.
Kuala Lumpur turut kecewa dalam acara beregu selepas diatasi Phitsanulok TC, 2-1 untuk kelab Thailand itu bertemu PDRM yang menewaskan Pulau Pinang yang diterajui Azlan Alias 2-1.
Must-Watch Video