SEPAK TAKRAW

Piala Tun Ali: Negeri Sembilan juarai Kumpulan D

Ammar Hakim 18/08/2022 | 14:17 MYT
Negeri Sembilan berjaya memastikan mereka menjuarai Kumpulan D selepas mengatasi Kelantan dalam saingan Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali, sebentar tadi.
Kelantan sebenarnya dijangka mampu berikan saingan selepas mereka dibarisi pemain yang berpengalaman terutama sekali hadir dengan pemain import.
Bagaimanapun, beberapa kesilapan feeder menjadikan mereka bergelut dan terpaksa akur tewas set pertama 21-18.
Negeri Sembilan pula turun ke set kedua dengan keyakinan yang mantap dan memperagakan pertahanan yang sukar ditembusi pihak lawan.
Kelantan cuba mengejar tetapi Negeri Sembilan ampuh untuk kekal di hadapan sebelum mereka memastikan kemenangan straight set 21-12.
Kemenangan itu meletakkan Negeri Sembilan selaku juara Kumpulan D.
Sementara itu, Kuala Lumpur yang sudah pun mengesahkan kemaraan ke suku akhir berjaya mengekalkan rekod kemenangan setakat ini dalam acara double menerusi kemenangan terbaru ke atas PDRM.
Gandingan Muslim Ramli dan Aidil bagaimanapun dihidangkan saingan sengit oleh Hishamudin Md Nazri dan Shukri Hasan yang terus-terusan mencabar untuk beberapa ketika mengikat kedudukan, sebelum Kuala Lumpur tewas 21-18.
Set kedua juga memperlihatkan saingan sengit dari kedua-dua beregu, namun momen paling menarik adalah ketika Faizal Md Yunus melakukan halangan biijak untuk PDRM kembali mengikat kedudukan 19-19, sebelum Kuala Lumpur berjaya mengheret permainan ke set penentuan dengan kemenangan 21-19.
Bagaimanapun set ketiga lebih banyak menyaksikan kesilapan dilakukan pasangan PDRM, mungkin juga impak dari tekanan yang diberikan Kuala Lumpur sehingga berjaya mencipta jurang besar 19-12, sebelum dua mata seterusnya kekal menjadi milik kl untuk permainan ini dinokhtahkan dengan 21-12.