Piala Tun Ali: Johor muncul juara

Ammar Hakim
Ogos 21, 2022 18:59 MYT
Melaka terpaksa akur dengan kekalahan di laman sendiri susulan tewas kepada Johor dalam aksi final Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali, sebentar tadi.
Aksi final regu di antara tuan rumah, Melaka dan Johor menyaksikan Dewan Bola Keranjang MBMB Bukit Serindit dibanjiri penyokong.
Set pertama Melaka yang menurunkan Syahir Rosdi selaku tekong bermula dengan garang, mendahului perlawanan sehingga mata menjadi 7-2.
Tapi Johor yang juga mempunyai pemain berpengalaman seperti Noraizat Nordin, tidak terkesan dengan jurang itu dan berjaya mengejar mata demi mata hingga menyamakan kedudukan menjadi 10-10.
Johor mengawal permainan dan bola yang berjaya dimatikan Noraizat memberi mata akhir buat Johor untuk menang set pertama 21-17.
Momentum kemenangan itu terus dibawa Johor di set kedua menyaksikan mereka mendahului dari awal lagi manakala Melaka yang cuba mengheret perlawanan ke set penentuan.
Kesilapan yang dilakukan Melaka memberi kelebihan pada Johor sekaligus Servis kencang dari Haziq Nizam memastikan Johor membawa pulang Piala Tun Ali dengan keputusan akhir 21-18.
;