HOKI
Piala TNB: UniKL muncul juara
UNIKL 1 KLHC 1 (UniKL menang menerusi penentuan pukulan penalti 4-3)
UniKL muncul juara Piala TNB 2018 selepas menafikan hasrat Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) yang memburu kejuaraan 'treble' dalam perlawanan akhir yang berlanjutan hingga penentuan pukulan penalti, sebentar tadi.
Selepas terikat 1-1 hingga tamat waktu permainan sebenar, UniKL mencipta kemenangan menerusi penentuan pukulan penalti 4-3.
Barisan serangan UniKL yang diterajui oleh Jereon Hertzberger mengasak pada awal babak perlawanan dengan UniKL mempunyai empat peluang menerusi percubaan padang dan sudut penalti.
Namun barisan pertahanan KLHC kental bertahan dengan kecemerlangan benteng akhir, Roslan Jamaluddin, menafikan asakan bertali arus UniKL.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.
Glenn Stewart Tunner akhirnya memecah kebuntuan gol hasil gol padang menewaskan Roslan selepas perlawanan bersambung dalam suku ketiga.
Bagaimanapun, KLHC mengikat jaringan selepas dihadiahkan pukulan sudut penalti. Jang Jonghyun tenang menyempurnakannya untuk menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-36.
Namun, kedudukan itu kekal hingga tamat masa perlawanan dan pemenang terpaksa ditentukan melalui penentuan pukulan penalti.
Kegagalan Matthew Willis menewaskan penjaga gol UniKL memberi ruang selesa untuk skuad kendalian Arul Selvaraj itu mendahului kedudukan.
Hertzberger memastikan gol kemenangan UniKL untuk muncul juara Piala TNB musim 2018.
Keputusan penuh:
KLHC 1 UniKL 1
(UniKL menang menerusi penentuan penalti 4-3)
Tempat ke-3/4
TNB 4 THT 3
Anugerah Khas:
Fairplay: TNB Thunderbolts
Penjaring Terbanyak: Gonzalo Peillat (16 gol)
Pemain terbaik perlawanan akhir: Roslan Jamaluddin