HOKI
Piala TNB: KLHC waspada ancaman UniKL
Perlawanan penutup tirai Liga Hoki Malaysia musim ini bakal menemukan naib juara 2017, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk menentukan siapa yang lebih layak bergelar juara Piala TNB 2018.
UniKL mencipta kejayaan bersejarah melangkah ke pentas final pertama mereka dalam tempoh sembilan tahun sejak mula menyertai kancah liga hoki tempatan.
Justeru, ia meletakkan UniKL sebagai pasukan bukan pilihan berbanding lawan, KLHC, yang rata-rata pemainnya sudah mempunyai pengalaman untuk mengatasi tekanan dalam perlawanan akhir.
UniKL mencipta kejutan menyingkirkan gergasi hoki tempatan, Terengganu Hockey Team (THT), 6-3 secara agregat di peringkat separuh akhir dan ia bakal dijadikan azimat untuk terus merangsang motivasi apabila berdepan KLHC di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, esok.
"Sudah tentu dalam dua, tiga perlawanan (liga) ini, kami tidak mencapai kemenangan tetapi seperti semua tahu, final adalah perlawanan berbeza.
"Untuk saya, keyakinan mara ke final adalah berdasarkan persembahan dua aksi separuh akhir lalu. Keyakinan dan tenaga kami berada dalam keadaan baik," kata jurulatih UniKL, Arul Selvaraj.
Daripada sudut statistik sejak 2015, UniKL tidak pernah mencatat sebarang kemenangan ke atas KLHC, dengan dua perlawanan terakhir dalam liga pada 28 Januari lalu menyaksikan mereka tumpas 1-3.
Namun, barisan pemain UniKL sudah bersedia untuk terus melakar satu lagi sejarah buat pasukan mereka.
"Kami akan melakukan yang terbaik esok dan ini adalah tahun yang terbaik untuk UniKL. Kami akan membawa pulang piala ini," kata ketua pasukan UniKL, Marhan Abdul Jalil.
Sementara itu, dua tonggak utama KLHC, Roslan Jamaluddin dan Joshua Pollard, berpandangan UniKL adalah lawan yang sukar diramal.
"Kebiasaannya KLHC dan THT yang bermain dalam final. Kami akan bermain dengan UniKL, dengan rekod kami ada menang dan seri dengan mereka.
"Kami tidak akan mengambil mudah perlawanan akhir ini. Segala kesilapan dalam liga kami akan perbaiki," kata penjaga gol KLHC, Roslan Jamaluddin.
Sementara itu, Pollard berkata KLHC perlu lebih menajamkan bahagian penyudah, khususnya ketika pukulan sudut penalti.
Ia jelas menjadi antara kepincangan buat pasukannya apabila hanya dapat menyempurnakan dua daripada lapan peluang ketika menentang TNB.
"Saya fikir kami bermain baik dan struktur kami juga baik. Jurulatih turut memberikan segala usaha dan kami akan melakukan dengan baik esok," kata Pollard.