HOKI
Piala TNB: KLHC, UniKL idam kejuaraan
Baik Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) mahupun Universiti Kuala Lumpur (UniKL), kedua-duanya mempunyai matlamat yang jelas dalam final Piala TNB esok.
KLHC di bawah bimbingan Lim Chiow Chuan pastinya mahu menebus kehampaan musim lalu selepas tewas kepada Pasukan Hoki Terengganu (THT).
UniKL pula mempunyai hajat lebih besar untuk menjulang piala buat kali pertama sejak menyertai Liga Hoki Malaysia pada 2009.
Iklan
Chiow Chuan sendiri mengakui barisan pemainnya akan berdepan tugas sukar apabila bertemu UniKL esok meskipun barisan pemainnya mempunyai pengalaman lebih luas berbanding lawan mereka itu.
Justeru itu, beliau menuntut anak buahnya supaya mempamer aksi lebih baik selepas agak bergelut ketika menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam separuh akhir.
"Saya memang berasa agak kecewa kerana kerana kami mempunyai banyak peluang menerusi pukulan sudut penalti tetapi gagal menyempurnakannya.
"Tetapi TNB ketika itu juga bermain dengan baik, terutama barisan pertahanan mereka.
"Apapun, kami perlu kekal fokus kerana lawan yang ditemui dalam final nanti pastinya lebih sukar," katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj, memikul tugas yang cukup berat untuk memastikan skuad bimbingannya itu meraih gelaran buat kali pertama.
"Melihat kepada statistik pertemuan dengan KLHC, memang kami tak pernah menewaskan mereka.
"Sebab itu saya mengharapkan statistik itu akan berubah dalam final nanti.
"Kami sudah melangkah sejauh ini dan pastinya tidak mahu mensia-siakan peluang terbaik untuk memenangi piala," katanya.
Must-Watch Video