HOKI

Piala TNB: KLHC, UniKL berentap dalam final

Penulis Jemputan 07/02/2018 | 14:37 MYT
Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) akan bertemu Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam final Piala TNB, Sabtu ini, selepas kedua-dua pasukan mengatasi lawan masing-masing secara agregat selepas berakhir separuh akhir kedua, hari ini.
KLHC, yang dikecewakan Terengganu Hockey Team (THT) dalam final musim lalu, terpaksa berhempas-pulas sebelum meraih tiket final sekali lagi selepas menewaskan TNB menerusi penentuan penalti 8-7.
KLHC memenangi perlawanan hari dengan keputusan 4-3 untuk memadamkan kelebihan 3-2 yang dimilikii TNB dalam separuh akhir pertama, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 6-6 secara agregat.
Perlawanan terpaksa ditentukan menerusi penentuan pukulan penalti yang akhirnya memihak kepada KLHC.
Sementara itu, UniKL mara ke final menerusi agregat 6-3 meskipun sekadar seri 2-2 dengan THT, hari ini.
Ketua jurulatih KLHC, Lim Chiow Chuan, nyata berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan barisan pemainnya kerana dilihat bersungguh-sungguh untuk mara ke final.
"Ketika kami mendahului 3-1, saya rasa keputusan akan memihak kepada KLHC. Tapi selepas berlaku situasi kucar-kacir dengan pemain gagal menyempurnakan beberapa peluang terhidang menerusi pukulan sudut penalti, ia memberi tekanan kepada kami.
"Mujur setiap pemain kekal tenang dan menjalankan tanggungjawab masing-masing sehingga ke penentuan penalti.
"Akhirnya kemenangan memihak kepada kami. Kini kami perlu kembali fokus untuk perlawanan final pula," katanya.
TNB di depan menerusi pukulan sudut penalti Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan pada minit ke-11 tetapi Thomas Carson menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-15.
Jang Jong-hyun kemudian menyempurnakan penalti stroke pada minit ke-24 sebelum Mohd Syamim Mohd Yusof menjaringkan gol padang pada minit ke-30 untuk meletakkan KLHC mendahului TNB 3-1 buat seketika.
Penyerang TNB, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil kembali merapatkan jurang hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-38 sebelum Syed Mohamad Syafiq menjadikan kedudukan 3-3 pada minit ke-40.
Muhammad Razie Abdul Rahim akhirnya kembali meletakkan KLHC di depan pada minit ke-56 selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti.
Sementara itu, UniKL yang selesa dengan agregat 4-1 dalam separuh akhir pertama, terus memberi tekanan kepada THT selaku juara bertahan apabila berada di depan seawal minit kedua menerusi jaringan padang Jeroen Dolf Hertzberger sebelum Glenn Stewarts Turner menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-23, juga menerusi gol padang.
Gonzalo Peillat merapatkan jurang dengan menyempurnakan penalti strok minit ke-28 sebelum dia menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-54.
Piala TNB
Separuh akhir kedua
TNB 3 KLHC 4
(KLHC menang penentuan penalti 8-7 selepas terikat agregat 6-6)
UniKL 2 THT 2
(UniKL menang menerusi agregat 6-3)
;