PIALA SAS

Piala Sultan Azlan Shah: Empat pemain digugurkan

Penulis Jemputan 01/03/2018 | 05:08 MYT
Jurulatih skuad hoki kebangsaan, Stephen Van Huizen, menggugurkan empat tonggak berpengalaman, termasuk kapten pasukan, Mohamad Sukri Abdul Mutalib, untuk ke Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, bermula Sabtu hingga 11 Mac ini.
Van Huizen memuktamadkan senarai akhir 18 pemain bagi menghadapi kejohanan itu selepas perlawanan persahabatan kedua dengan Argentina, semalam.
Selain Sukri, turut tidak akan ke Ipoh ialah Muhamad Ramadan Rosli, Mohammad Izad Hakimi Jamaluddin dan Muhammad Amirul Aideed Md Arshad.
"Buat masa ini, kami memberikan mereka (semua pemain) peluang bermain dalam kejohanan-kejohanan. Saya tidak fikir kami mengatakan dia itu nombor satu, dia ini nombor dua.
"Kami mahu memberikan mereka sebanyak mungkin latihan, mungkin bermain dalam setiap perlawanan bagi mendapatkan pendedahan dan pengalaman yang mereka mahukan," katanya.
Dalam pada itu, Shukri mengakui fokusnya kini adalah untuk segera pulih daripada kecederaan hamstring yang dialaminya.
Sekalipun terpaksa melupakan Piala Sultan Azlan Shah kali ini, Shukri berasa lebih baik untuknya kembali cergas bagi menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia selepas ini.
"Untuk saya, ia adalah kecederaan yang tidak boleh dikawal. Apabila ia datang, saya terpaksa membuat pemulihan.
"Saya harap proses pemulihan berlaku dengan cepat dan bersedia untuk kejohanan seterusnya, iaitu Sukan Komanwel.
"Saya rasa pemilihan pemain dibuat adil dan semua pemain memberikan komitmen tinggi dalam latihan. Jurulatih pun memilih mereka berdasarkan latihan dan perlawanan persabahatan dengan Argentina.
"Saya yakin mereka akan melakukan yang terbaik untuk Piala Sultan Azlan Shah kali ini," kata Sukri.
;