Skip to main content

Hoki

Piala Remaja TNB: Sufian puji kebangkitan AHP-MSP

sufian.jpg
AHP-MSP Thunderbolt membawa bekalan selesa ke perlawanan separuh akhir kedua Piala Remaja TNB selepas menundukkan SSMS Resilient 4-2 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Wakil Pahang itu bangkit daripada ketinggalan dua jaringan, bermula dengan gol penalti Muhamad Syawal Abdul Razak (m-43) sebelum meledak tiga jaringan pantas, masing-masing dua daripada Muhammad Syahir Hasif Harun dan satu daripada Muhammad Hazim Ahir, untuk AHP-MSP membawa bekalan dua gol menjelang perlawanan kedua, Khamis ini.

Jurulatih AHP-MSP, Mohd Sufian Mohamad, bagaimanapun kecewa dengan permulaan yang dipamerkan pasukannya selepas gagal meledak gol pada awal permainan, namun memuji semangat barisan pemain apabila bangkit merakam kemenangan.

"Sedikit tidak berpuas hati daripada segi penyudah. Banyak peluang keemasan tetapi gagal dilunaskan. Kebangkitan pemain-pemain dalam suku terakhir merupakan sesuatu yang harus diberikan pujian," katanya.

Mendahului dengan dua jaringan awal menerusi  Izaz Afdhaal (m-15) dan Saifuddin Azli 10 minit kemudian, jurulatih SSMS Resilient, Sharil Izam Muara, pula berpandangan faktor kepenatan di samping kekurangan pemain menjadi punca mereka gagal mengekang kemaraan lawan pada penghujung permainan.

"Pasukan saya kekurangan pemain kerana kami menghadapi saingan dengan 15 pemain. Kehilangan fokus, terutama dalam suku terakhir, atas kepenatan menjadi titik tolak kekalahan kami dalam perlawanan ini.

"Bagaimanapun, kami akan berusaha untuk bangkit dalam perlawanan berikutnya," katanya.

Advertisement

Must Watch Video