HOKI
Piala Remaja Asia: Young Tigers perlu akhiri peringkat kumpulan dengan kemenangan
Skuad hoki remaja negara dituntut sekali lagi untuk mengekalkan rentak kemenangan apabila melayan tuan rumah, Oman ,dalam aksi terakhir Kumpulan B, Piala Remaja Asia 2023 di Kompleks Belia Sultan Qaboos, Salalah awal pagi esok.
Biarpun telah mengesahkan slot ke separuh akhir, pengendali The Young Tigers, Muhamad Amin Rahim, mengingatkan pemainnya untuk mengekalkan rekod bersih dengan menang kesemua perlawanan.
Namun, pada masa sama, pemain negara harus bersedia dengan sebarang kemungkinan dan kekal fokus dengan matlamat serta objektif pasukan.
“Oman ada kelebihan selaku tuan rumah, pasti mereka akan turun dengan kelebihan itu. Selain itu, mereka juga bermain agak fizikal serta agresif.
“Namun, saya yakin dengan kemampuan pemain The Young Tigers berdasarkan penampilan di sepanjang kejohanan ini.
“Biarpun begitu, sekali lagi saya ingin ingatkan pemain bahawa setiap mereka harus kekal fokus dan konsisten untuk semua perlawanan sepanjang kejohanan,” katanya.
Skuad muda negara kendalian Muhamad Amin memulakan kempen Piala Remaja Asia 2023 dengan langkah kanan apabila menewaskan Uzbekistan 8–1, Bangladesh (5-1) dan Korea Selatan (3–1).
Pada masa sama, Muhamad Amin memuji komitmen dan disiplin tinggi yang dipamerkan pemainnya dalam tiga perlawanan terakhir peringkat kumpulan sebelum ini.
“Untuk tiga perlawanan yang telah kami harungi ini, pemain telah menunjukkan disiplin yang baik sebagai satu pasukan.
“Malah, setiap mereka telah mengikut perancangan permainan yang dirancang barisan kejurulatihan dengan baik dan sempurna serta memahami setiap tugasan yang diberikan kepada mereka.
“Buat masa ini, tiada kecederaan serius dialami pemain dan tiada pemain yang terlepas perlawanan berdepan Oman akibat penggantungan,” katanya.
Kredit: Sinar Harian