HOKI
Piala Remaja Asia: Young Tigers dituntut lebih padu di Oman
Pemain skuad hoki remaja negara dituntut untuk meningkatkan prestasi masing-masing apabila menyingkap cabaran Kejohanan Piala Remaja Asia 2023 di Salalah Oman bermula hari ini.
Pengendali Young Tigers, Muhamad Amin Rahim, mahu pemain-pemainnya menggunakan kejohanan itu sebagai pentas persiapan mental dan fizikal bagi menghadapi Piala Dunia Remaja 2023.
Katanya, secara keseluruhan, persediaan pasukan itu berada di tahap terbaik, namun berharap pemain mengekalkan fokus dan konsisten dalam setiap latihan dan perlawanan.
Iklan
“Biarpun Malaysia telah layak beraksi dalam Kejohanan Hoki Piala Dunia di Kuala Lumpur 2023, kejohanan ini akan digunakan pasukan sebagai persiapan bagi menghadapi temasya berkenaan.
“Jadi, pemain yang diturunkan harus tampil dengan persembahan terbaik masing-masing dalam kejohanan ini.
“Segala input yang diperoleh di sini akan membantu barisan jurulatih mempersiapkan satu skuad yang mantap dalam Kejohanan Piala Dunia Remaja 2023,” katanya.
Sebagai rekod, Young Tigers diundi dalam Kumpulan B bersama Bangladesh, Korea Selatan, Oman dan Uzbekistan.
Skuad muda negara itu akan membuka gelanggang berdepan Uzbekistan pada jam 9.45 malam ini.
Dalam masa sama, Muhamad Amin berharap pengalaman dan pendedahan diperoleh pemain semasa Siri Jelajah Perth dan Sukan SEA Kemboja 2023 digunakan dengan sebaik mungkin ketika beraksi di Semenanjung Arab.
“Secara keseluruhan untuk Siri Jelajah Perth dan Sukan SEA Kemboja 2023, terutama daripada segi tempo, kualiti, fizikaliti dan speed, pemain mendapat minit permainan secukupnya serta dapat pendedahan yang baik.
“Pemain juga menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan yang mempunyai taktikal permainan dan kekuatan pasukan yang berbeza, namun pemain dapat menghadapi setiap perlawanan dengan baik.
“Setiap pasukan yang bertanding ada misi tersendiri tetapi kita tetap kena hormat setiap pasukan dan tidak boleh memandang rendah setiap pasukan,” katanya.
Kredit: Sinar Harian
Must-Watch Video