HOKI
Piala Remaja Asia: Young Tigers bermula garang di Oman
Skuad hoki remaja negara menyingkap kempen Kejohanan Piala Remaja Asia 2023 di Kompleks Belia Sultan Qaboos, Salalah, Oman dengan langkah kanan apabila membelasah Uzbekistan 8-1 dalam aksi Kumpulan B malam tadi.
Pesta gol The Young Tigers kendalian Muhamad Amin Rahim itu dijanakan hatrik pukulan sudut penalti T. Perabu pada minit ketujuh, kesembilan dan 18.
Skuad muda negara terus melebarkan jaringan menerusi sentuhan Alfarico Lance Liau Jr (m-12), Shahmie Irfan Suhaimi (m-26), Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi Anwar (m-27), Mughni Mohamad Kamal (m-43) dan Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari (m-52).
Sementara itu, gol saguhati pasukan Uzbekistan dijelmakan hasil gol padang Shavkatjon Kakhramonov pada minit ke-55.
“Hari ini kami menjaringkan empat gol daripada 12 kelebihan pukulan sudut penalti selain menjaringkan empat gol padang daripada jumlah keseluruhan lapan gol.
“Ini satu petanda yang baik apabila pasukan menjaringkan gol menerusi gerakan padang dan pukulan sudut penalti.
“Namun, kesilapan di bahagian pertahanan melepaskan satu gol perlu dilihat kembali dan kami akan mengenalpasti bagaimana Uzbekistan dapat mencuri satu gol dalam sesi postmortem pasukan,” kata Muhamad Amin.
The Young Tigers akan berdepan Bangladesh dalam perlawanan kedua Kumpulan B esok.
Dalam pada itu Muhammad Amin berharap pemain-pemainnya akan memperbaiki kesilapan mudah dan kekal fokus untuk 60 minit perlawanan di padang.
“Saya amat berharap pemain peka kerana sedikit kelekaan atau sambil lewa di atas padang akan mengakibatkan pihak lawan menjaringkan gol.
“Secara keseluruhan, dalam separuh masa pertama, kami bermain dan bergerak sebagai satu unit dan hasilnya kami menjaringkan enam gol, iaitu daripada pukulan sudut penalti juga gol padang.
“Namun, dalam separuh masa kedua, berlaku sedikit kelekaan dalam kalangan pemain yang mengakibatkan kami melepaskan satu gol padang menerusi serangan balas lawan selepas kami dihadiahkan pukulan sudut penalti,” tambahnya.
Kredit: Sinar Harian