HOKI
Piala Remaja Asia: Skuad negara perlu segera sesuaikan diri dengan keadaan cuaca
Faktor cuaca dijangka menjadi ujian kepada karakter skuad hoki remaja negara apabila berdepan Bangladesh dalam perlawanan kedua Kumpulan B Kejohanan Piala Remaja Asia 2023 malam ini.
Bagaimanapun, pengendali The Young Tigers, Muhamad Amin Rahim, menegaskan fizikal dan mental anak-anak buahnya perlu segera menyesuaikan diri dengan situasi itu.
Jelasnya, cuaca sangat memainkan faktor utama dalam mempengaruhi persembahan pasukan dalam Kejohanan Piala Remaja Asia 2023 ini.
“Biarpun begitu, pengalaman pemain yang beraksi dalam Sukan SEA Kemboja 2023 ternyata memberi sedikit kelebihan bermain dalam keadaan cuaca sebegini.
“Apapun, ingin saya tegaskan di sini, cuaca bukan alasan untuk tidak mempamerkan persembahan meyakinkan seperti dibuktikan ketika menang ke atas Uzbekistan.
“Jadi, saya amat berharap momentum ini kekal berterusan kerana perlawanan menentang Bangladesh, kami akan beraksi jam 3.30 petang (waktu Oman), yang cuaca lebih panas berbanding aksi menentang Uzbekistan,” katanya.
Terdahulu, The Young Tigers menyingkap kempen Kejohanan Piala Remaja Asia 2023 di Kompleks Belia Sultan Qaboos, Salalah, Oman dengan langkah kanan apabila membelasah Uzbekistan 8-1 dalam aksi Kumpulan B kelmarin.
Pesta gol The Young Tigers dijanakan hatrik pukulan sudut penalti T. Perabu minit ketujuh, kesembilan dan 18.
Skuad muda negara terus melebarkan jaringan menerusi Alfarico Lance Liau Jr (m-12), Shahmie Irfan Suhaimi (m-26).
Turut menjadi penjaring, Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi Anwar (m-27), Mughni Mohamad Kamal (m-43) dan Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari (m-52).
Sementara itu, gol saguhati pasukan Uzbekistan dijelmakan hasil gol padang Shavkatjon Kakhramonov pada minit ke-55.
Mengulas empat gol daripada 12 kelebihan pukulan sudut penalti itu selain empat gol padang daripada jumlah keseluruhan lapan gol, Muhamad Amin berkata, “Empat gol dari 12 pukulan sudut penalti (35 peratus) peratusan yang agak kurang baik dari segi penyudah pasukan.
“Namun, pemain berjaya menjaringkan gol padang, ini membuktikan skuad muda negara mempunyai keupayaan menjaringkan gol dari dua sudut jaringan, sekali gus petanda positif buat pasukan.”
Kredit: Sinar Harian