Piala Raja Thai: PSM sasar emas regu lelaki, satu gangsa skuad wanita
Najmi Iman
Ogos 6, 2024 20:50 MYT
Ogos 6, 2024 20:50 MYT
Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan, meletakkan sasaran emas acara regu lelaki manakala, satu pingat gangsa buat berpasukan dan quadran wanita di Kejohanan Piala Raja Thai 2024.
Meskipun tanpa kelibat tekong utama, Mohammad Syahir Rosdi serta perejam, Baihakki Aripin yang mengalami kecederaan, Sumali percaya ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun, memiliki pelan B dalam menyenaraikan 12 pemain terbaik yang akan menggalas cabaran Malaysia di Korat, Thailand.
Skuad kebangsaan sedang menjalani kem latihan pusat di Ratchaburi sejak 28 Julai lalu dan dijadualkan kembali ke Tanah Air 10 Ogos ini sebelum memulakan kempen berkenaan September depan.
"Itu merupakan sasaran awal kami meskipun mengakui terdapat sedikit tekanan selepas kejayaan dalam Piala Dunia ISTAF Jun lalu, jadi kami mahu melihat mampukah skuad negara menyerap cabaran tersebut," katanya.
Dalam masa sama, PSM kini dalam proses menilai beberapa aspek persediaan penganjuran Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 yang dijangka berlangsung sekitar Mei tahun depan di Kuala Lumpur.
"Kami sedang membuat tinjuan venue berkenaan penganjuran tersebut dan formatnya masih dalam perbincangan," tambahnya.
#Sepak Takraw
#PSM
#Persatuan Sepak Takraw Malaysia
#Datuk Mohd Sumali Reduan
#Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025
#Piala Raja Thai 2024