BERBASIKAL

Piala Presiden GP Trek ASEAN 2025: Nurul Izzah dalam kelas tersendiri

Ammar Hakim 22/01/2025 | 10:24 MYT
Keunggulan The Pocket Rocketwoman, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, tidak dapat dinafikan selepas dia berjaya melakar emas hatrik dalam acara pecut wanita siri ketiga Kejohanan Trek ASEAN Piala Presiden 2025.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Perang saudara dalam perebutan pingat emas itu menyaksikan Nurul Izzah menewaskan rakan senegaranya, Alyssa Mohd Farid dengan perbezaan 0.359 saat untuk memastikan emas ketiga dalam genggaman.
Tidak dinafikan, pelapis muda itu memiliki potensi besar untuk menggugat rekod prestasinya namun dengan pengalaman dan kehebatan sedia ada, dia mampu membuktikan bahawa dia sememangnya layak memegang gelaran sebagai Olimpian wanita negara.
Sementara itu, penantian panjang yang sekian lama membelenggu diri Ridwan Sahrom hari ini akhirnya berakhir.
Pelumba kebangsaan itu mencipta sejarah peribadi selepas mencatat rekod baharu 9.921 saat pada pusingan kelayakan sekaligus meraih emas berganda acara pecut lelaki siri kedua dan ketiga.
Dengan kejayaan dan catatan masa yang kompetitif, ia dilihat mampu membuka peluang besar buat dirinya untuk memberikan fokus lebih mendalam terhadap acara pecut yang kini menjadi kekuatannya.
Di sebalik kejayaan dilakar, pasti terselit doa dan restu kedua ibu bapa yang mampu menjadi kekuatan utama untuk mengharungi segala cabaran dan meraih impian.
Pemenang pingat emas acara keirin lelaki junior, Luqman Haqim Ali Badrun sempat berkongsi kisah di mana pada awalnya dia terpaksa menerima kekangan daripada ibu bapanya untuk tidak menyertai saingan Kejohanan Trek ASEAN Piala Presiden 2025.
Namun tidak disangka, hasil daripada pujuk rayu dan restu ibu bapa, dia kini sedang menempah nama dalam senarai terbaik pelapis kebangsaan selepas turut unggul memenangi emas acara pecut dan keirin pada siri kedua.
#Berbasikal trek #Nurul Izzah
;