HOKI

Piala Negara-Negara: Jadual padat bantu proses perkasakan skuad hoki negara

Stadium Astro
Shaiful Shamsudin
22/03/2025
09:32 MYT
Sponsor Banner
Piala Negara-Negara: Jadual padat bantu proses perkasakan skuad hoki negara
Ketua jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh, dalam dilema untuk mengharungi kempen 2025 yang paling mencabar dalam karier kejurulatihannya.
Sarjit berperang dengan masa untuk membentuk pasukan ampuh dan terpaksa merombak skuad selepas pengunduran pemain senior dan paling terbaru, persaraan Faizal Saari.
Menambah kegusaran Sarjit, jangkaan melambung yang diletakkan terhadap The Speedy Tigers meskipun realitinya, kem negara melalui proses transformasi menyeluruh pasca kegagalan layak ke Sukan Olimpik Paris.
Skuad negara akan terbang ke Australia penghujung bulan depan sebagai program pemantapan skuad sebelum melayani kunjungan pasukan terkemuka bagi Kejohanan Piala Negara-Negara di Kuala Lumpur, Jun depan.
"Adalah penting untuk kami beraksi cemerlang dalam kejohanan ini kerana dalam penyertaan terakhir, persembahan kami bagus tapi (sukar) tanpa Hafizuddin (Othman).
"Harap kali ini kami bertambah baik.
"Persembahan kami bagus tapi kami memerlukan keputusan yang memberangsangkan, namun sasaran kami adalah Sukan Asia tahun depan.
"Andai kami dapat mengadakan perlawanan kualiti dan bina momentum, kami mampu beraksi lebih baik.
"Tahun lalu saya sudah suarakan bahawa kami memerlukan sekitar 40 perlawanan tapi hanya dapat mengaturkan 17 perlawanan sahaja.
"Jadi tahun ini kami mempunyai setidak-tidaknya lima kejohanan termasuk ke Australia, Korea Selatan, Piala Negara-Negara, Piala Asia dan Piala Sultan Azlan selain perlawanan persahabatan," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video