Piala Mirnawan: Nik Jeremy wira Malaysia Tiger
Ammar Hakim
November 8, 2024 18:31 MYT
November 8, 2024 18:31 MYT
Di sebalik cerita kejayaan kemaraan pasukan ke pentas final, sudah pasti ada tonggak utama yang beraksi cemerlang merealisasikan impian ke peringkat akhir Kejohanan Hoki Piala Mirnawan.
Pemain yang dijulang sebagai wira Malaysia Tigers adalah Nik Jeremy Heidi Nik Faizal Hadi.
Memiliki aura, karisma dan keyakinan tinggi, Nik Jeremy terus mengorak langkah dan membuktikan, mengapa dirinya dicanang sebagai penjaga gol masa hadapan skuad senior negara.
Berusia 16 tahun, Nik Jeremy menyelamatkan tiga percubaan Malaysia Speedy di penentuan penalty shoot out sekaligus jadi watak kemenangan Malaysia Tigers.
Menjelang aksi final bertemu Korea Selatan -- Nik Jeremy ada misi peribadi yang belum selesai selepas dibolosi tiga kali pada pertemuan peringkat kumpulan sehingga tewas 1-3 kepada Korea.
Pertembungan epik dua wakil negara di separuh akhir Piala Mirnawan memihak Malaysia Tigers selepas mengungguli penentuan penalty shoot out 3-1 ke atas Malaysia Speedy.
Edisi ketiga Piala Mirnawan menemukan dua pasukan remaja negara di peringkat empat terbaik di bawah kepimpinan jurulatih berkaliber, Izwan Firdaus dan Sufian Mohamad.
Skuad kendalian Izwan Firdaus, Malaysia Tigers mempersembahkan kualiti permainan terpuji disamping menyerlahkan kepimpinan pemain yang diuji dengan keputusan pengadil perlawanan pada saat getir.
Malaysia Tigers terlebih dahulu meledak jaringan pembukaan menerusi flicker utama, Muhammad Ashrafeel Iman pada minit ke-31.
Selain berdepan senario jaringan dibatalkan pengadil, Malaysia Tigers turut diuji dengan jaringan penyamaan di penghujung saingan hasil sumbangan Amran Kashimi Ahmad Kamil.
Namun cerita kebangkitan Malaysia Speedy berakhir penentuan shoot out dan terpaksa akur sambil Malaysia Tigers mara ke final.