Piala Mirnawan 2024: Malaysia Tigers benam Afrika Selatan untuk jumpa wakil senegara
Saufi Tahir
November 6, 2024 19:25 MYT
November 6, 2024 19:25 MYT
Kemenangan 3-1 ke atas Afrika Selatan memberi laluan selesa buat skuad Malaysia Tigers melangkah ke pusingan separuh akhir Piala Mirnawan 2024 sebaik mengisi slot kedua bagi saingan peringkat kumpulan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Barisan anak buah Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin mencari kedudukan selesa dalam dua babak suku masa pertama menerusi dua jaringan pukulan sudut penalti minit ketujuh dan ke-27 melalui Muhammad Aieman Hakimie dan kapten pasukan, Muhammad Safwan Salihe.
Suku akhir ketiga ada situasi cemas berlaku sebaik pihak lawan berjaya merapatkan kedudukan daripada jaringan padang milik Callum Anderson pada minit ke-51.
"Memang sebelum beraksi kami telah rancang sekiranya pasukan lawan merapatkan jurang dan apa pemain perlu lakukan. Jadi, pemain berdisiplin serta mempunyai kefahaman untuk mempertahankan gol itu.
"Dalam hoki, banyak jaringan pantas berlaku jadi disiplin penting," kata jurulatih Malaysia Tigers, Firdaus Ahmad Tajudin.
Halangan berterusan mencetuskan kehampaan skuad Afrika Selatan sebaliknya tambahan jaringan berlaku buat kem skuad negara menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Abdul Hamzah pada minit ke-58.
Malaysia Tigers bakal bertemu rakan sepasukan, Malaysia Speedy dalam aksi separuh akhir nanti.
"Kami akan buat kerja rumah dalam perlawanan seterusnya agar pasukan lebih fokus, semua pasukan kuat dan mahukan kemenangan. Kami akan beri yang terbaik dalam setiap pasukan." tambah kapten pasukan, Safwan Salihe.