SEPAK TAKRAW

Piala Emas Khir: Kelantan di tempat ketiga

Farizal Yusoff 02/07/2018 | 09:47 MYT
Tuan rumah, Kelantan, membaiki prestasi apabila menduduki tempat ketiga Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari Ke-54 apabila menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 di Dewan Jubli Perak, Majlis Perbandaran Kota Bharu- Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Kota Bharu, petang semalam.
Turun dengan penuh semangat selepas gagal ke final apabila tumpas 2-0 kepada Perak, regu A Kelantan yang dibarisi Muhd Farid Abdul Aziz sebagai tekong, Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) dan Wan Naim Izani Wan Mohd Noor tidak berdepan sebarang masalah untuk menang 2-0 (21-10, 21-16) ke atas regu A ATM.
Namun, ATM kembali memberi saingan apabila regu keduanya, Muhamad Hairul Azizi Hadzid, Muhammad Afifudin Mohd Razali dan Mohd Nazuha Mohd Radzi, mengalahkan Kelantan B yang diketuai tekong utama, Mohamad Hisham Mat 2-0 (21-12, 21-13).
Terikat 1-1, berbekalkan sokongan padu penyokong, regu C tuan rumah yang menurunkan Sulaiman Salleh, Mohd Basir Muhammad dan Mohammad Saufi Salleh tenang mengawal gelanggang untuk menumpaskan regu C ATM 2-0 (21-14, 21-17 dalam masa 30 minit.
Pengurus Kelantan, Kamarudin Hamat, gembira dengan prestasi anak buahnya biarpun menghadapi sedikit masalah ketiadaan tekong terbaik sebelum kejohanan berlangsung.
"Tiga tekong utama kami tidak dapat beraksi dalam kejohanan ini akibat masalah perlepasan majikan dan menyertai universiti ke kejohanan sepak takraw di Jerman.
"Oleh itu, kami buat keputusan untuk menggunakan khidmat Sulaiman Salleh dan Mohd Farid Abd. Aziz bagi menampung kekurangan posisi penting itu.
"Alhamdulillah, terima kasih kepada semua pemain dan pengurusan atas kejayaan ini," katanya.
Untuk rekod, kejayaan tempat ketiga ini membolehkan Kelantan pulang dengan ganjaran tunai RM10,000 dan medal manakala ATM menerima RM5,000 serta medal.
Kamarudin pula diumumkan sebagai pengurus terbaik sepanjang kejohanan berlangsung dan menerima ganjaran tunai RM500.
;