Atlet tenpin boling negara, Rafiq Ismail, menamatkan cabaran Kejohanan Tenpin Boling Piala Dunia dengan meraih pingat perak dalam saingan yang berlangsung di Hong Kong, hari ini.
20 strike yang berjaya dilakukan dalam aksi separuh akhir berdepan wakil Amerika Syarikat, Pavky Ranharan, membenarkan dia melangkah aksi final bertemu wakil China, Du Jian Chao.
Memenangi permainan pertama dengan kelebihan satu pin (223-222) memberikan momentum terbaik buat Rafiq.
Bagaimanapun, wakil China itu bangkit dalam permainan kedua (226-166) sebelum memastikan kemenangan dalam permainan penentuan (235-193).
"Secara keseluruhannya saya rasa saya mempunyai persembahan yang baik. Kejohanan pertama tahun ini dan menduduki tempat kedua. Permulaan yang hebat. Nantikan acara berpasukan," kata Rafiq.
"Untuk rekod, Acara utama kami tahun ini ialah Kejohanan Dunia pada November dan Sukan SEA Thailand Disember ini."
IMEJ: FB MTBC
Ammar Hakim
Fri Jan 10 2025