SUKAN LAIN

Piala Dunia Memanah: Skuad wanita tekad tebus kekecewaan 2017

Penulis Jemputan 06/04/2018 | 11:58 MYT
Barisan pemanah wanita negara memasang misi membalas dendam dalam Kejohanan Piala Dunia Memanah di Shanghai pada 22 April ini selepas berputih mata untuk sekurang-kurangnya membawa pulang pingat gangsa di medan serupa, tahun lalu.
Jurulatih negara, Lee Jae Hyung, masih mengekalkan muka sama untuk berentap dalam Kejohanan Piala Dunia Memanah di China yang diketuai atlet recurve wanita, Nur Aliya Abdul Ghapar, Nur Afisa Abdul Halil serta Shin Hui Loke.
"Saya cuba mencari semula rentak.
"Kadangkala saya berdepan kekangan masa kerana waktu belajar dan kuliah, jadi secara perlahan-lahan saya mahu mendapatkan rentak," kata Aliya.
Seorang lagi pemanah yang turut disenaraikan adalah Nuramalia Haneesha Mazlan.
Berbekalkan pengalaman beraksi buat kali pertama di pentas Piala Dunia tahun lalu selain menjadi tonggak negara meraih emas berpasukan recurve dalam Sukan SEA 2017, Nuramalia yakin skuad negara mampu menghadirkan kejayaan.
"Berdasarkan pencapaian sekarang, saya mampu menampilkan aksi lebih baik berbanding di Shanghai pada tahun lalu.
"Mungkin pada tahun ini saya dapat menyesuaikan diri," ujar Nuramalia.
Tahun lalu, dalam kejohanan yang sama, mereka hampir mencipta kejutan meraih gangsa, namun dinafikan China dalam penentuan tempat ketiga.
;