SEPAK TAKRAW
Piala Dunia ISTAF: Syahir Rosdi optimis disiplin kunci utama tewaskan Thailand
Pemain tekong negara, Syahir Rosdi, menganggap disiplin sebagai kunci utama kemenangan menewaskan Thailand dalam acara regu di Stadium Titiwangsa, minggu lalu.
Dia masih tidak berpuas hati dengan prestasi semasanya dalam kejohanan Piala Dunia ISTAF 2024 dari aspek serangan dan pertahanan walaupun berjaya merangkul emas dalam acara itu.
Syahir percaya dia masih perlu memperbaiki aksinya dari masa ke semasa dan fokus sepenuhnya dalam kempen Piala Dunia yang akan datang.
"Setakat ini saya masih belum mencapai prestasi yang saya inginkan kerana ada service yang tersangkut dan keluar ketika melakukan pertahanan dan serangan.
"Saya lihat jiwa kemenangan perlu ada, untuk berjuang setiap pemain perlu disiplin dalam setiap apa yang kita lakukan.
"Moral daripada pasukan doubles yang menjuarai acara itu menjadi pencetus semangat untuk kami menang. Dan aura kemenangan itu membuatkan kami menang emas, pada awalnya kami tidak sangka kerana tekanan yang tinggi sebelum masuk gelanggang.
"Semangat rakan-rakan dan jurulatih banyak bantu saya." katanya kepada Nadi Arena.