SEPAK TAKRAW
Piala Dunia ISTAF: Skuad doubles bersemangat tinggi jumpa Thailand
Gegak gempita Stadium Titiwangsa mengiringi laluan Aidil Aidil Aiman Azwawi-Noraizat Nordin ke pentas final bertemu Thailand, Ahad ini.
Pertemuan dalam separuh akhir acara doubles Piala Dunia ISTAF membabitkan Malaysia dan Myanmar itu berkesudahan dengan kemenangan straight set, namun ia bukan semudah yang disangka.
Selepas kemenangan normal 15-10 dalam set pertama, bahang di Stadium Titiwangsa kian terasa dalam set berikutnya.
Kedua-dua pasukan saling mengejar mata sambil serangan psikologi pemain Myanmar menambahkan lagi kemeriahan debaran penonton yang berada di stadium.
Sudah pasti pengakhiran 17-16 titik noktah paling lega buat kedua-dua pemain ini di dalam gelanggang.
"Kami tahu Myanmar kuat dalam doubles. Mereka menampilkan regu berbeza berbanding Sukan SEA tapi saingan kali ini lebih sengit," kata Noraizat.
Dan demi pentas final acara doubles, Aidil Aiman rela mengetepikan masalah gastriknya dengan keutamaan enggan mengecewakan gandingannya, Noraizat.
Kesakitan yang dideritainya itu terbayar dengan mengulangi kemenangan ke atas Myanmar seperti yang pernah dilakukan dalam Sukan SEA Kemboja tahun lalu.
"Doktor membenarkan saya untuk beraksi, kesakitan itu masih terasa.
"Noraizat banyak bagi semangat, lagipun saya memang nak main dalam Piala Dunia," kata Aidil Aiman.
Skuad doubles negara ke final untuk bertemu Thailand selepas menumpaskan Min Oo Zin-Wunna Zaw Shein 15-10, 17-16 di Stadium Titiwangsa.