SEPAK TAKRAW
Piala Dunia ISTAF: PSM, KBS akan bincang mengenai habuan buat skuad takraw negara
Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan mengakui berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan oleh skuad sepak takraw negara di Kejohanan Piala Dunia ISTAF 2024.
PSM akan mengadakan perbincangan dengan pihak Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) bagi menentukan ganjaran yang bakal diberikan kepada skuad kendalian Ahmad Jais Baharun selepas mendominasi acara Double dan Regu.
"Secara keseluruhannya, persembahan pemain saya kategorikan sebagai cemerlang.
"Dalam perlawanan akhir dan berjumpa Thailand terutamanya peluang akan menjadi 50-50, memandangkan kedua-dua pasukan sama kuat.
"Di peringkat PSM, terdapat habuan yang kami akan berikan dan akan berbincang bersama pihak KBS terlebih dahulu kerana telah mengharumkan nama negara.
Dia dalam perkembangan sama turut mengesahkan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) telah menawarkan Malaysia untuk bertindak selaku tuan rumah Piala Asia ASTAF 2025.
Segalanya masih di peringkat awal namun fokus utama psm ketika ini adalah untuk mewujudkan kejohanan antarabangsa tahunan di Malaysia di masa akan datang.
"Kita wajar ada kejohanan antarabangsa di Malaysia, sudah tiba masanya memandangkan kita merupakan kuasa besar dalam sukan sepak takraw.
"Hasrat saya adalah untuk menganjurkan kejohanan setiap tahun, saya akan berbincang dahulu mengenai tawaran untuk menganjurkan piala asia sukan takraw tahun depan." katanya kepada Nadi Arena.
Menurut Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Azrul Hisyam Abdul Jalil: "Tahun ini, kami masih kekalkan Program Podium secara berfasa.
"Bantuan akan disalurkan berdasarkan permohonan daripada persatuan."