Stadium Astro logo
HOKI

Piala Dunia Hoki Remaja: KHM masih tunggu lampu hijau sebelum muktamad pelan persiapan

article-author-avatar
Zaki Zainal 06/04/2025 | 11:13 MYT
Article ribbon Piala Dunia Hoki Remaja: KHM masih tunggu lampu hijau sebelum muktamad pelan persiapan
Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) kini masih menunggu kelulusan rasmi daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memuktamadkan pelan persiapan penuh skuad hoki remaja kebangsaan menjelang Kejohanan Piala Dunia Remaja yang dijadual berlangsung dalam tempoh tujuh bulan lagi.
Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, buat masa ini, segala perincian termasuk jumlah dana yang diperlukan masih dalam perbincangan dan keputusan akhir hanya akan dapat diperoleh selepas pertemuan empat mata antara MHC, MSN dan KBS dalam masa terdekat.
"MSN sekarang kita tahu mereka ada ketua pengarah (Jefri Ngadirin) baru dan penaja kita TNB. Segala apa yang kita lakukan kita akan bincang dengan pihak penaja kami terutamanya untuk pandangan dan nasihat dari mereka," ujar beliau kepada wartawan Astro Arena, Husna Zainudin.
"Pasukan junior kebangsaan lelaki dan wanita masih belum lagi mendapat sebarang pembiayaan daripada MSN mahupun KBS dan buat masa ini memang kita akan berjumpa dengan KBS dan MSN untuk berbincang tentang pelan mereka untuk pasukan remaja kerana kedua-duanya telah melayakkan diri ke kejohanan Piala Dunia Remaja.
Beliau menambah, tempoh tujuh bulan yang masih berbaki sebelum kejohanan dianggap mencukupi, memandangkan barisan pemain yang dipilih mempunyai pengalaman luas dalam kejohanan peringkat antarabangsa.
"Kami yakin tempoh ini mencukupi kerana majoriti pemain sudah biasa beraksi di pentas antarabangsa. Kem latihan yang dirancang bermula Mei depan adalah masa yang sesuai untuk mantapkan pasukan," katanya lagi.
MHC percaya bahawa perancangan teliti serta kerjasama erat antara semua pihak berkepentingan adalah kunci utama bagi memastikan skuad remaja negara mampu tampil dengan aksi terbaik di Piala Dunia nanti.
#KBS #MSN #kamal #Hoki Piala Dunia Remaja #Subhan