HOKI

Piala Dunia Hoki: Malaysia pamer aksi terbaik sebelum tewas penalti shoot-out kepada Sepanyol

Muzaffar Musa 22/01/2023 | 13:29 MYT
MALAYSIA 2 SEPANYOL 2
(Sepanyol ke suku akhir selepas menang penalti shoot-out 4-3)
Hasrat skuad hoki negara untuk ke suku akhir Piala Dunia Hoki FIH tidak kesampaian apabila tewas 3-4 kepada Sepanyol dalam penentuan penalti shoot-out selepas aksi sepanjang 60 minit pusingan cross-over di Bhubaneswar, India itu berakhir 2-2.
Penjaga gol negara, Hafizuddin Othman, muncul pemain paling cemerlang dalam dua suku pertama, di mana dia menafikan deretan percubaan Sepanyol termasuk daripada pukulan sudut penalti.
Memasuki suku ketiga, Malaysia terlebih dahulu berada di depan apabila Faizal Saari bijak menghidu lorongan Faiz Helmi Jali untuk membuka jaringan pada minit ke-35.
Bagaimanapun, Sepanyol selepas itu meningkatkan asakan mereka dan berhasil memperoleh dua jaringan pantas, bermula dengan gol pukulan penalti Marc Miralles pada minit ke-41 sebelum jaringan padang Xavier Gispert meletakkan Sepanyol di depan seminit kemudian.
Malaysia melakukan segala-galanya untuk menyamakan kedudukan dalam suku terakhir dan Amirul Hamizan Azahar menyangkakan dia sudah menjaringkan gol penyamaan pada minit pertama selepas perlawanan bersambung tetapi jaringan itu dibatalkan setelah semakan video mendapati bola terlebih dahulu terkena belakang kayu Faizal.
Usaha demi usaha yang dilakukan Speedy Tigers akhirnya membuahkan hasil pada 11 minit terakhir apabila Shello Silverius bijak memanfaatkan situasi kelam-kabut di depan gawang lawan untuk menghidupkan perjuangan skuad negara.
Keputusan itu menyaksikan perlawanan berkenaan terpaksa ditentukan melalui penalti shoot-out.
Selepas Hafizuddin menyelamatkan dua pukulan lawan dan Marhan Jalil dan Shello pula gagal menemui sasarn, Firhan Askhaari tidak dapat menyempurnakan pukulan keduanya dalam penentuan itu sebelum Miralles memastikan kemaraan pasukannya menerusi pukulan terakhir.
Malaysia seterusnya akan bertemu Afrika Selatan bagi perlawanan penentuan tempat kesembilan hingga ke-16 di Rourkela pada Khamis ini.
Kredit foto: FIH/World Sports Pic
#Hoki #Piala Dunia FIH
;