HOKI
Piala Dunia Hoki FIH: Shahril Saabah puji Shahmie Irfan sebagai penggantinya
Penyerang skuad hoki negara, Shahril Saabah, bersetuju dengan keputusan ketua jurulatih, Arul Selvaraj, untuk merehatkannya bagi baki saingan Piala Dunia Hoki FIH di India.
Pemain itu turut memuji Shahmie Irfan Suhaimi, yang dipilih sebagai penggantinya, sambil yakin penyerang muda itu mampu menyumbangkan sesuatu yang besar buat skuad kebangsaan menjelang aksi pusingan cross-over menentang Sepanyol hujung minggu ini.
Shahril terpaksa diketepikan daripada baki perlawanan Piala Dunia selepas mengalami kecederaan koyak otot hamstring sepanjang dua sentimeter ketika perlawanan kedua Kumpulan C menentang Chile pada Isnin lalu.
"Selepas tamat perlawanan menentang Chile, saya memang sudah tidak boleh angkat kaki dan apabila kami ke hospital untuk saya menjalani ujian imbasan, memang ada sedikit bengkak dan koyak (otot).
"Jurulatih menyarankan saya agar terus berehat kerana jika saya meneruskan tiga atau empat perlawanan di sini, ia mungkin akan menjadi lebih teruk dan mungkin koyak sehingga berbelas sentimeter," katanya kepada Astro Arena.
Mengulas mengenai pemilihan Shahmie Irfan sebagai penggantinya, Shahril menambah: "Saya rasa dia seorang pemain muda berbakat yang bagus dan berusaha keras.
"Walaupun dia baru menyertai pasukan -- saya kira tidak sampai dua bulan -- tetapi kita dapat lihat kemahuannya untuk bermain bersama pemain-pemain senior."