HOKI

Piala Dunia Hoki FIH: Malaysia raih kemenangan pertama selepas bangkit atasi Chile

Muzaffar Musa 16/01/2023 | 09:46 MYT
MALAYSIA 3 CHILE 2
Skuad hoki negara terpaksa bangkit daripada ketinggalan sebanyak dua kali sebelum menewaskan Chile 3-2 dalam aksi kedua Kumpulan C, Piala Dunia Hoki FIH di Stadium Hoki Kebangsaan Birsa Munda, Rourkela sebentar tadi.
Berdasarkan rekod di atas kertas, Malaysia, yang berada di ranking ke-11 dunia berbanding Chile di tangga ke-23, tidak akan berdepan masalah untuk menewaskan lawan dari Amerika Selatan itu tetapi aksi sepanjang separuh masa pertama menunjukkan sebaliknya.
Malaysia terlebih dahulu dibolosi pada minit ke-20 apabila Juan Amoroso menyudahkan pukulan sudut penalti untuk Chile mendahului dalam suku kedua.
Susulan percubaan Shahril Saabah yang terkena kaki pertahanan lawan, Malaysia dianugerahkan pukulan penalti untuk Razie Rahim mudah menyudahkan peluang pada minit ke-26 itu, sekali gus kembali mengekalkan skuad negara dalam saingan berkenaan.
Bagaimanapun, keputusan itu hanya bertahan selama enam minit apabila Chile kembali berada di depan susulan kebijaksanaan Martin Rodriguez menghidu hantaran jauh rakan sepasukannya sebelum menewaskan penjaga gol negara, Hafizuddin Othman.
Malaysia bermula baik selepas waktu rehat separuh masa dan mempamerkan penguasaan hampir sempurna dalam separuh masa kedua untuk kembali menyamakan kedudukan selepas 11 minit perlawanan bersambung.
Penyerang negara, Ashran Hamsani, melakukan libasan daripada satu lantunan bola tinggi untuk menewaskan penjaga gol lawan berkenaan pada minit ke-41.
Selepas berkali-kali mencuba untuk mendapatkan gol daripada pukulan sudut penalti, usaha yang dilakukan The Speedy Tigers akhirnya membuahkan hasil apabila Norsyafiq Sumantri bertindak bijak dalam mengawal bola sebelum menyempurnakan gerakan 'set-piece' itu pada minit ke-42.
Selepas tewas 0-4 kepada Belanda dalam perlawanan pertama kelmarin, skuad negara sekali lagi akan membawa misi wajib menang ke atas New Zealand dalam aksi terakhir peringkat kumpulan pada Khamis ini untuk membuka peluang ke suku akhir atau ke pusingan 'cross-over'.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Kredit foto: FIH
#Hoki #Piala Dunia Hoki FIH
;