HOKI
Piala Dunia Hoki FIH: Malaysia hadapi masalah kecederaan menjelang aksi lawan New Zealand
Ketua jurulatih skuad hoki negara, Arul Selvaraj, pening kepala dengan masalah kecederaan yang melanda pasukannya, dengan yang terbaru melibatkan penyerang utama, Shahril Saabah.
Menjelang aksi penting menentang New Zealand bagi perlawanan terakhir peringkat Kumpulan C, Piala Dunia Hoki FIH di Bhubaneswar pada Khamis ini, ketiadaan Shahril pasti dirasai memandangkan pemain itu merupakan taruhan utama di jentera serangan dan salah seorang 'flicker' skuad negara.
Dengan masa yang semakin suntuk, Arul perlu membuat keputusan penting sama ada mahu mengekalkan Shahril dalam pasukan atau memilih seorang pemain simpanan untuk mengisi kekosongan itu.
Iklan
Berdasarkan peraturan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), mana-mana pemain yang mengalami kecederaan serius boleh digantikan dengan sorang pemain simpanan yang dibawa bersama pasukan.
Ini menyaksikan Arul mungkin memilih salah seorang daripada dua penyerang muda, iaitu Tengku Nasrul Ikmal Hakimie Tengku Abdul Rahim dan Shahmie Irfan Suhaimi.
Pengurus pasukan hoki kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi, berkata kepada Astro Arena: "Daripada segi kecederaan, sebenarnya ada seorang pemain, iaitu Shahril Saabah, yang dilanda kecederaan ketika menentang pasukan Chile semalam.
"Setelah diperiksa oleh doktor pasukan, ia sememangnya kecederaan yang agak serius.
"Pada hari ini juga, pihak pengurusan pasukan, terutama jurulatih, Arul Selvaraj, akan melihat kemungkinan pertukaran pemain akan dilakukan tetapi pemain simpanan mana yang akan dipilih masih belum tahu lagi kerana dia (arul) memerlukan sedikit masa untuk menentukan siapakah pemain yang akan menggantikan Shahril bagi baki perlawanan sepanjang Piala Dunia 2023 ini," katanya.
Must-Watch Video