HOKI
Piala Dunia Hoki FIH: Malaysia ada ramuan benam Sepanyol -- Ashran
Pemain tengah, Mohamad Ashran Hamsani, optimis skuad hoki negara mampu melepasi halangan Sepanyol apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi penentuan ke suku akhir Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar, India petang esok.
Ashran berkata keyakinan itu hadir berdasarkan pertemuan memberangsangkan dalam aksi persahabatan kedua-dua pasukan itu sebelum kejohanan berkenaan bermula biarpun skuad negara tewas 2-3 di tangan pasukan di ranking kelapan dunia itu.
"Kami telah menjalani aksi pemanas badan bertemu mereka, jadi sedikit-sebanyak mengetahui corak permainan mereka.
"Namun, apa yang penting sekarang adalah untuk memikirkan penerapan taktikal terbaik untuk digunakan dalam perlawanan itu nanti," katanya menerusi video yang dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kepada media hari ini.
"Kami akan berbincang mengenai disiplin, tumpuan penuh, elakkan kesilapan selain memastikan taktikal menyerang dan taktikal bertahan dapat diperbaiki," katanya lagi.
Pada Khamis lalu, skuad kendalian Arul Selvaraj itu, yang menduduki ranking kesembilan dunia, menewaskan New Zealand 3-2 dalam aksi terakhir Kumpulan C.
Kemenangan itu adalah yang kedua buat Malaysia dalam Piala Dunia 2023 selepas menewaskan Chile 3-2, sekali gus menyaksikan skuad negara menamatkan saingan Kumpulan C di tempat kedua di belakang Belanda.
Kredit: Sinar Harian