HOKI

Piala Dunia Hoki FIH: Arul mahu pemain bangkit dalam aksi terakhir

Muzaffar Musa 27/01/2023 | 12:30 MYT
Selepas kekalahan yang memilukan kepada Afrika Selatan dalam pusingan klasifikasi tempat ke-9 hingga 16 semalam, skuad hoki negara bertekad untuk bangkit menewaskan Jepun bagi aksi terakhir pusingan klasifikasi di Rourkela, India esok.
Malaysia tewas 3-6 kepada Afrika Selatan, sekali gus menjadikan aksi menentang Jepun sebagai medan terbaik untuk pemain negara melakukan kebangkitan.
Bagaimanapun, Ketua jurulatih skuad negara, Arul Selvaraj, menjangkakan Jepun akan memberikan segala-galanya dalam pertemuan kali ini memandangkan mereka juga terluka dibelasah India 8-0 semalam.
"Walaupun kami pernah menundukkan Jepun sebelum ini, di peringkat Piala Dunia seperti ini, tiada perlawanan yang mudah kerana Jepun juga ingin menamatkan saingan dengan sebaiknya," katanya seperti yang dipetik Astro Arena.
"Kami perlu turun dengan motivasi yang lebih tinggi untuk memenangi perlawanan terakhir dalam Piala Dunia ini agar kami dapat membawa emosi kemenangan itu untuk ke fasa seterusnya," katanya.
Kredit foto: KHM
#Hoki #Arul Selvaraj #Piala Dunia Hoki FIH
;