HOKI

Piala Dunia Hoki Dalam Dewan: Senarai pemain akan diumum bulan ini

Saufi Tahir 07/12/2024 | 11:13 MYT
Jurulatih skuad hoki dalam dewan negara, Rodhanizam Mat Radzi, percaya situasi buruk berpotensi melanda kem hoki dalam dewan kebangsaan andai deretan pemain utama skuad itu dilanda kecederaan menjelang saingan Piala Dunia Hoki Dalam Dewan yang akan berlangsung di Croatia bermula 3 Februari depan.
Namun, selepas mencapai kata sepakat antara pasukan liga dan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), situasi menang-menang akan menjadi medium terbaik buat skuad negara itu.
Kancah Liga Hoki Malaysia akan bermula 4 Januari tahun depan, tatkala skuad hoki dalam dewan pula dijadualkan akan berlepas ke Eropah pada 16 Januari bagi tujuan persiapan fasa akhir di Austria sebelum bertolak ke Croatia.
Dalam tempoh 2 minggu itu, pemain akan beraksi bersama majikan masing masing dalam saingan liga sebelum melaporkan diri bersama skuad kebangsaan sehari sebelum berlepas.
Untuk rekod, lapan pemain kebangsaan memainkan peranan penting bersama pasukan Maybank di saingan liga ketika beberapa pemain lain menjadi tunjang bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Terengganu Hockey Team (THT).
"Untuk pemain, kita akan bincang dengan MHC untuk tarikh 12 pemain akan diumumkan, dan mungkin kami akan umum pada bulan ini sebelum bermulanya Liga Hoki Malaysia.
"Jika berlaku kecederaan kita masih punyai senarai panjang yang kita sudah berikan, tetapi saya berharap jika kita sudah senaraikan 12 pemain nanti tiada apa-apa yang akan berlaku kepada mereka.
"Kita tidak dapat mengawal kecederaan, kita hanya boleh maklumkan kepada pemain agar lebih berjaga-jaga. Saya harap pemain di liga dan luar tidak mencederakan pemain kerana pemain kami tidak ramai." katanya.
#Hoki #Piala Dunia Hoki Dalam Dewan
;