HOKI
Piala Dunia Hoki Dalam Dewan: Kesilapan kecil boleh jadi punca berdepan Iran
Skuad hoki dalam dewan lelaki kebangsaan terus fokus membetulkan segala aspek penting selepas kekalahan kepada Jerman dan Argentina dalam saingan Kumpulan B, Kejohanan Hoki Piala Dunia di Croatia, semalam.
Jurulatih kebangsaan, Rodhanizam Mat Radzi, menggesa anak buahnya agar tidak menoleh ke belakang dan bangkit lebih kuat.
"Kami kena kurangkan kesilapan kecil kerana dalam Piala Dunia, ia tidak boleh kerap dilakukan kerana akan menjadi peluang untuk pasukan menjaringkan gol.
"Kalau kami kurangkan kesilapan kecil -- kami sudah bermain dengan baik -- maka kami akan dapat keputusan seri atau menang," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Menjelang perlawanan terakhir bertemu Iran awal pagi tadi, Rodhanizam tetap optimis walaupun tewas 1-7 kepada Iran dalam final Piala Asia 2024, skuad negara mampu mencipta keputusan terbaik dalam kempen di Porec ketika ini.
"Kami memang pernah kalah kepada Iran dengan jaringan besar pada 2024. Kami sudah tingkatkan aspek teknikal dan taktikal dengan pesat.
"Selepas membuat persediaan dan kalau pemain berikan yang terbaik, kita mungkin dapat lihat kebangkitan pasukan negara atau mendapatkan mata," katanya.